Jumaat, 22 Mei 2015

Fakta Menarik Mengenai Coklat. (Kecantikan dan Kesihatan.)

Penggunaan coklat sebagai bahan kecantikan mungkin masih asing lagi dalam kalangan kita, namun terapi kecantikan itu sebenarnya mempunyai banyak manfaat kepada kulit bukan saja pada wajah malah seluruh badan.


Ini kerana coklat bersifat antioksidan yang mampu melindungi kulit daripada kesan kerosakan berpunca daripada pendedahan kepada matahari atau elemen persekitaran yang lain.

Menyangkal mitos kononnya ia membuatkan kulit lebih mudah berjerawat, coklat sebaliknya dikelaskan sebagai makanan yang sihat kerana kandungan nilai antioksidan tinggi padanya.

Menariknya, coklat mempunyai bahan yang mampu melembutkan kulit memandangkan ia kaya dengan mentega koko yang selalunya turut diselitkan dalam losyen badan dan kosmetik yang ada di pasaran.

Kuasa melembap yang ada padanya dikatakan mampu mengurangkan garis halus dan menghalang radikal bebas merosakkan kandungan elastin, kolagen dan protein yang ada pada kulit.

Ia juga mampu membuang sel kulit mati dan membantu merangsang pertumbuhan sel baru. Apabila coklat yang sudah dicairkan disapu pada kulit dan dibiarkan seketika sebelum dicuci, ia membuatkan kulit terasa lembap, sekali gus sesuai dijadikan pelembap wajah yang berkesan.

Selain disapu, pemakanan berasaskan bahan daripada coklat juga mampu membantu menjaga kolagen dan melawan kerosakan akibat sinar matahari kerana ia kaya dengan zat baik iaitu flavanoid.

Penggunaan coklat sebagai rawatan kecantikan masih baru dan mula disedari masyarakat moden yang semakin peka terhadap bahan kecantikan dari alam semula jadi dan sedia mencuba sesuatu yang baru.

Melihat kepada faedahnya, tidak hairanlah apabila semakin banyak spa kecantikan menggunakan coklat sebagai antara bahan rawatan kulit yang popular.

Penggunaan coklat sebagai resipi kecantikan bagi mendapatkan kulit sihat dan gebu boleh dicuba sesiapa saja di rumah tanpa perlu mengeluarkan belanja yang besar. Antaranya membuat sendiri lulur coklat bersama kelapa bagi membuang sel kulit mati. Ia boleh dihasilkan dengan cara memanaskan gula dalam minyak kelapa kemudian masukkan serbuk koko ketika ia masih panas. Masukkan juga serbuk oat supaya ia mempunyai tekstur kasar yang boleh digunakan sebagai lulur.

Tiada ulasan:

Catat Komen