Rabu, 1 Julai 2015

Keburukan Telefon Pintar Terhadap Saraf

ADAM ESTES cukup risau memikirkan gejala sakit kepala yang dialaminya. Menurut Estes, simptom yang dialami tidak banyak berbeza dengan gejala yang dihidapi sepupunya sebelum dia disahkan menghidap tumor otak.
“Sepupu saya mengalami sakit yang teramat sangat di bahagian pelipis (bahagian kepala antara dahi dengan telinga) akibat ketumbuhan itu.“Saya menyangkakan perkara sama berlaku kepada diri ini. Saya jadi paranoid dan sangat gelisah,” katanya seperti dipetik portal berita Mail Online.Menurut Estes, rasa sakit yang dialami tidak seperti sakit kepala biasa.
“Rasanya seperti dipukul di kepala dengan batang besi yang panas. Kesakitannya terasa bagai terkena renjatan elektrik sehingga ke tulang tengkorak,” jelasnya.Estes yang merupakan seorang wartawan dari New York, Amerika Syarikat segera mendapatkan rawatan dan dia diberitahu bahawa sakit kepala yang dialami mungkin berpunca daripada tabiat penggunaan telefon pintarnya. 

Jejas saraf
Kata Estes, pakar neurologi yang merawatnya mengesahkan dia menghidap penyakit neuralgiaoksipital iaitu sejenis gangguan saraf akibat tabiat menunduk terlalu lama.“Doktor yang merawat bertanyakan kepada saya apa akti­viti yang biasa dilakukan sehingga boleh menyebabkan otot tengkuk menjadi tegang.“Pada awalnya, saya tidak terfikir apa-apa. Postur tubuh saya baik, saya tiada masalah membuat kerja menggunakan komputer, malah posisi tidur saya juga okay.

“Tetapi selepas itu, saya teringat yang saya sering menundukkan kepala setiap kali melihat paparan skrin pada telefon bimbit. Perbuatan itu menyebabkan tengkuk saya selalu berasa le­nguh,” ceritanya.
Menurut Pakar Saraf Universiti New York, Dr. Myrna Cardiel, tabiat menunduk ketika melayari internet di telefon pintar didapati bukan sahaja dapat menjejaskan postur tubuh, malah memberi kesan buruk kepada saraf. Katanya, neuralgia oksipital ialah masalah neurologikal yang mana saraf oksipital pada saraf tunjang menjadi terlalu mampat sehingga mengakibatkan keradangan.
“Saya sudah menjadi pakar neurologi selama 10 tahun dan dalam tempoh itu, saya melihat kes membabitkan penyakit saraf ini meningkat secara mendadak sejak trend penggunaan telefon pintar semakin popular,” jelas­nya.

Tiada ubat
Satu kajian yang diterbitkan dalam Sioux City Journal mendapati, menundukkan kepala sehingga 60 darjah untuk melihat skrin telefon sama seperti meletakkan bebanan seberat 27 kilogram (kg) ke atas vertebrata serviks iaitu tulang belakang di bahagian tengkuk.“Ia lebih berat daripada purata berat kanak-kanak berusia tujuh tahun.“Semakin rendah anda me­nunduk, semakin tinggi bebanan pada tengkuk,” ujar Cardiel.Mengulas lanjut, Cardiel memberitahu, postur tubuh tegak dengan kepala tidak ditundukkan atau berada pada 0 darjah sudah meletakkan bebanan sehingga 5.45kg pada tengkuk. 

“Apabila kepala ditundukkan kepada 15 darjah, bebanan sudah menjadi 12kg, manakala kedudukan kepala pada sudut 30 darjah pula seolah-olah meletakkan bebanan seberat 18kg pada bahagian berkenaan.“Menunduk sehingga 45 darjah pula seperti meletakkan beban seberat 22kg pada tengkuk,” jelasnya.Menurut Cardiel, meskipun gangguan neuralgia oksipital bukan satu penyakit baharu, namun masih belum ada penawar buat penyakit itu ketika ini.

“Pesakit hanya akan diberikan ubat serta rawatan lanjut bagi mengurangkan rasa sakit tetapi tiada penawar untuk menyembuhkannya.“Ubat seperti suntikan steroid dan ubat kebas diberikan. Ia bagi menyekat saraf tersebut daripada mendatangkan rasa sakit kepala.
“Rawatan lain termasuklah melakukan urutan dan regangan badan yang dapat membantu melegakan ketegangan urat pada bahagian leher tersebut.“Selain tidak boleh menunduk dalam tempoh rawatan, senaman yoga juga baik untuk meredakan rasa sakit dalam jangka masa panjang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan